Input your search keywords and press Enter.

8 Ditahan Cuba Halang Tugas Penjawat Awam

M Update, 27/8/2019 – Lapan termasuk seorang aktivis sebuah parti politik ditangkap selepas ingkar arahan polis untuk bersurai ketika menyertai satu perhimpunan bantahan oleh sekumpulan penuntut sebuah akademi di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, kira-kira 50 penuntut kolej berkenaan pada mulanya menyertai perhimpunan berkenaan yang diadakan di hadapan bangunan akademi itu. Perhimpunan itu dikatakan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan pengurusan kolej membuang dua penuntut kerana gagal membayar yuran pengajian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Kelana Jaya diarahkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan.

Pasukan polis kemudian mengarahkan semua penuntut yang berhimpun supaya bersurai, namun mereka enggan dan terus berhimpun. Susulan itu, kita tahan tujuh pelajar termasuk seorang wanita serta seorang aktivis parti politik yang mengetuai perhimpunan bantahan itu kerana cuba menghalang tindakan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua yang ditahan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas. Difahamkan, lapan individu berusia antara 20 hingga 26 tahun yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik keterangan mereka selesai diambil. – BH Online

Leave a Reply