Input your search keywords and press Enter.

Sambutan Hari Kemerdekaan Di Putrajaya Esok

M Update, 30/8/2019 – Tahun ini, Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan, yang merupakan kali keempat sebagai tuan rumah, namun ia masih tetap istimewa.

Istimewanya Hari Kebangsaan 2019, Putrajaya akan menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong baharu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan itu esok.

Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019 lepas.

Juga istimewanya sambutan pada tahun ini ialah apabila orang nombor satu dalam perkhidmatan kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengetuai sendiri perarakan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam.

Perarakan berkuda itu akan melibatkan 44 ekor kuda dari unit berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KSN mengetuai pasukan ini sebagai tonggak (perkhidmatan awam. Penyertaan kontinjen berkuda itu juga menjadikan kuda sebagai satu-satunya haiwan yang terlibat dalam acara perarakan itu.

Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, lebih 1,000 pelajar sekolah bergabung membuat persembahan khas menampilkan analogi sifat anai-anai sebagai simbolik kejelikan jenayah rasuah serta rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan negara hancur akibat jenayah itu.

Dengan jangkaan 500,000 pengunjung hadir pada 31 Ogos ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pihak bertanggungjawab untuk menyelaras persiapan logistik buat pertama kalinya menyediakan kemudahan tempat duduk bertingkat bagi orang awam, yang mampu memuatkan sehingga 4,000 orang.

Lebih 15,000 peserta dan lebih 300 aset terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019.

Sumber : Bernama

Leave a Reply