Input your search keywords and press Enter.

Israel Dan Hizbullah Berbalas Bedilan

M Update, 03/09/2019 –  Israel dan Hizbullah semalam, berbalas bedilan di sepanjang sempadan Lubnan dengan rejim Zionis selepas ketegangan sejak seminggu lalu dengan Israel melepaskan kira-kira 100 bedilan artileri membalas tembakan peluru berpandu anti-kereta kebal pasukan bersenjata Lubnan itu.

Menurut AFP, Israel melaporkan bedilan misil Hizbullah mengenai pangkalan batalion tenteranya dan satu ambulans tentera.

Al Jazeera melaporkan, Hizbullah mendakwa peluru berpandu ditembaknya memusnahkan satu kereta kebal Israel, membunuh dan mencederakan anggota di dalamnya namun Israel menegaskan tiada kematian atau kecederaan di pihaknya.

Ketegangan tercetus selepas serangan udara Israel membunuh dua anggota Hizbullah di Syria minggu lalu, serta serangan dron Zionis terhadap kedudukan kumpulan itu di selatan Beirut.

Dalam serangan menjelang Subuh pada 25 Ogos lalu, dua dron Israel memasuki ruang udara Lubnan dengan satu daripadanya meletup di udara menyebabkan kerosakan pada pusat media Hizbullah manakala satu lagi terhempas tanpa meletup.

Israel tidak mengakui bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Israel sudah menjangka serangan Hizbullah itu selepas pemimpin kumpulan berkenaan, Hassan Nasrallah dalam ucapan melalui televisyen berkata, Israel perlu ‘membayar’ dan ‘keputusan sudah dibuat untuk bertindak balas.’

Menurut Nasrallah, Israel melanggar syarat yang dikuatkuasakan selepas perang antara Israel dengan Lubnan berakhir pada 2006.

Keadaan kembali tenang petang semalam dan Perdana Menteri Lubnan, Saad al-Hariri, menghubungi pegawai kanan Amerika serta Perancis mendesak mereka ‘masuk campur’ bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk yang boleh menyebabkan tercetusnya perang baru.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau sudah mengarahkan tenteranya bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Leave a Reply