Input your search keywords and press Enter.

Sijil Ajar Agama Ditarik Jika Langgar Undang-Undang: Mujahid

M Update, 3/9/2019 – Sijil tauliah mengajar agama Islam akan ditarik jika pengajar didapati melanggar mana-mana undang-undang yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, semua pihak termasuk pemegang tauliah mengajar agama perlu menghormati undang-undang serta sensitiviti, kepelbagaian kaum dan bangsa di negara ini.

“Ada undang-undang, kena hormat, kita semua terikat. Jangan lupa juga kepelbagaian agama, bangsa kerana kita ada orang Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban dan lain-lain lagi.

“Jangan cakap seolah-olah mereka ini tiada (ketika mengajar agama),” katanya ketika berucap merasmikan Muzakarah Perdana Pemegang Tauliah Mengajar Agama di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini belum ada lagi sijil tauliah mengajar agama ditarik balik namun pejabat mufti dan majlis agama negeri sentiasa memantau jika terdapat sebarang aduan dan salah laku yang dilaporkan.

“Kami ada proses. Kami akan siasat (jika ada laporan), kami panggil individu itu dahulu dan minta penjelasan sebelum ambil sebarang keputusan,” katanya.

Beliau menekankan pentingnya tenaga pengajar agama menghormati kepelbagaian kaum dan agama terjalin sejak merdeka yang dikhuatiri akan tergugat jika ia tidak dijaga dengan sebaik-baiknya. – Bernama

Leave a Reply