Input your search keywords and press Enter.

Melayu Perlu Berubah – Dr Mahathir

M Update, 6/9/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu yang mengamalkan sikap hanya cukup ‘makan gaji’ dan tidak mahu bekerja bersungguh-sungguh, akhirnya menjadikan negara didiami mereka kini dipenuhi warga asing yang mengambil peluang mencari pendapatan di sini.

Perdana Menteri berkata, sejarah mengajar bagaimana orang Melayu satu ketika dulu ramai memilih ‘makan gaji’ dan mengusahakan ladang pertanian kecil serta menjadi nelayan dan tidak ramai berniaga atau bekerja buruh kasar. Beliau berkata, kesan daripada sikap itu, tidak ramai orang Melayu yang tinggal di bandar mengusahakan perniagaan.

“Pada masa itu, bandar didiami dan dipenuhi kedai Cina, tidak ada kedai Melayu. Ada beberapa kedai makan dan rempah cabai dimiliki orang India. Raja-raja Melayu tidak mengiktiraf orang Cina dan India sebagai rakyat. Kepercayaan mereka ialah orang ini, akan kembali ke negara masing-masing apabila khidmat mereka tidak diperlukan lagi,” katanya dalam entri terbaru di blog beliau, hari ini.

Dr Mahathir berkata, orang Cina biasanya berhijrah ke negara lain termasuk ke Amerika Syarikat, Australia dan negara jajahan British jika mereka melihat peluang mencari makan ada di situ. Melihat kestabilan pemerintahan British dan peluang kerja, mereka datang beramai-ramai ke negeri Melayu. Mereka sanggup bekerja keras sebagai kuli dan sanggup buat kerja kotor, kerja berat serta berbahaya.

“Orang Melayu berasa senang kerana kerja berat, kotor dan berbahaya serta perniagaan dilakukan orang asing. Jika mereka melihat kekayaan dan kemajuan orang asing ini, mereka tidak berasa khuatir sedikit pun. Kepercayaan mereka, negeri mereka kekal sebagai milik mereka. Itu yang saya lihat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, akibat sikap itu, mereka tidak sanggup bekerja kuat, tidak berniaga secara serius sehingga menjadikan mereka terus miskin. Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Sepatutnya orang Melayu sedar apa yang berlaku kepada mereka, malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar dan enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing yang membanjiri negara kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, setakat ini tujuh juta orang asing masih berada di sini untuk bekerja.

“Apa akan terjadi kepada orang Melayu. Ada yang dakwa orang Melayu adalah tuan, tetapi adakah mereka tuan yang miskin, orang yang tidak ada kebolehan dan bergantung kepada belas kasihan orang lain,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, orang Melayu mesti berubah kerana yang menentukan nasibnya adalah mereka sendiri. Memarahi orang lain tidak akan menyelesaikan masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah, tetapi jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya,” katanya. – BH Online

Leave a Reply