Input your search keywords and press Enter.

NADMA, Wisma Putra, TUDM Bincang Bawa Pulang Pelajar Malaysia

M Update, 24/9/2019 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengadakan mesyuarat bersama Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi ini, berhubung keperluan operasi evakuasi pelajar Malaysia di beberapa daerah di Indonesia yang terkesan dengan jerebu.

Perjumpaan itu dijadualkan berlangsung di ibu pejabat NADMA, Putrajaya pada pada jam 10.30 pagi tadi. Ketua Penolong Pengarah Kanan NADMA, Farhan Sufyan Borhan, berkata perbincangan itu menjurus kepada usaha membawa pulang 160 pelajar berkenaan di Pekanbaru, Riau dan Jambi.

“Kita akan bermesyuarat jam 10.30 pagi berhubung keperluan operasi berkenaan. NADMA akan mengeluarkan kenyataan media nanti mengenai perkembangan baharu sekiranya ada,” katanya pada BH, hari ini.

BERNAMA yang memetik laporan media Indonesia melaporkan, Wilayah Riau diisytiharkan berstatus darurat pencemaran udara berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah melebihi 500. Gabernor Riau, Syamsuar menetapkan status darurat itu bermula semalam sehingga hujung bulan ini, bergantung kepada keadaan semasa.

Pengarah Pendidikan Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, dilaporkan berlepas ke Pekanbaru pagi ini, bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung keadaan pelajar Malaysia di wilayah itu. Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru sudah diarahkan bercuti sejak 13 September lalu. Terdapat seramai 214 pelajar Malaysia di universiti berkenaan.

Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia juga dilaporkan sudah diarahkan bercuti. Difahamkan sejumlah pelajar sudah pulang sementara ke Malaysia. – BH Online

Leave a Reply