Input your search keywords and press Enter.

Kematian Orang Asli Kuala Koh Sah Demam Campak

M Update, 26/9/2019 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian 12 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Kelantan, pada Jun lalu disebabkan demam campak dan bukannya akibat pencemaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya melakukan kajian teliti di makmal ke atas 12 daripada 16 mayat bagi mendapatkan keputusan lebih kukuh. Beliau berkata, mengikut laporan awal, sejumlah 16 kematian dilaporkan dengan empat dilaporkan ke KKM iaitu tiga ke Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan satu ke Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Selain itu, 12 kematian lagi dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan. Daripada 16 kematian itu, hanya empat kematian disahkan demam campak, manakala 12 kematian masih belum dapat disahkan kerana masih menunggu keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi. Hasil diperoleh melalui laporan penuh, lapan kematian mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak, manakala empat kematian lagi tidak dapat ditentukan punca kematian kerana tahap pereputan yang teruk, namun berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan forensik, kematian tidak berpunca daripada keracunan logam berat ataupun dalam erti kata lain pencemaran.

Bagaimanapun rumusan yang boleh diterjemahkan melalui laporan penuh ini, semua 12 kematian terbabit adalah kerana demam campak seperti berlaku ke atas semua mangsa, bukannya disebabkan pencemaran,” katanya pada sidang media semalam.

Julai lalu, Dzulkefly berkata, laporan penuh kini dalam proses disiapkan yang akan mengambil masa lebih lama kerana masih menunggu tiga keputusan iaitu deoksiribonukleik (DNA) daripada 12 mayat berkenaan, toksikologi dan logam berat daripada lapan mayat serta keputusan berhubung entomologi daripada 10 mayat dengan semua laporan penuh berkenaan mengambil masa untuk disiapkan.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata, semua mayat Orang Asli yang ditemui polis sudah menjalani bedah siasat oleh pasukan forensik pada 17 dan 18 Jun lalu, namun keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi belum diperoleh. Pada 17 Jun lalu, KKM mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, termasuk membabitkan kematian, adalah disebabkan demam campak berdasarkan keputusan ujian makmal.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa agak lama bagi mengenal pasti punca 12 kematian kerana keadaan mayat sudah reput hingga menyukarkan bedah siasat dilakukan. Hasil bedah siasat turut membabitkan beberapa sampel persekitaran seperti sumber air minum, tanah dan makanan seperti ikan masin kering diambil untuk diuji kehadiran logam berat, mikroorganisma dan racun perosak.

Malah sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak, air sungai dan air telaga mematuhi nilai piawai kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak, namun sumber air minum terbabit tercemar dengan beberapa bakteria patogenik.

Bagi analisa mikrobiologi sampel tanah kubur dan sekitar tempat tinggal, satu kes kematian adalah negatif untuk dua bakteria patogenik yang diuji (meliodosis dan leptospirosis). Analisa dijalankan terhadap ikan masin kering juga mendapati tiada logam berat, histamin dan mikroorganisma,” katanya. – BH Online

Leave a Reply