Input your search keywords and press Enter.

Lelaki Ditahan Menyamar Doktor Pelatih

M Update, 2/10/2019 – Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor pelatih di Hospital Kemaman mengundang padah apabila ditahan polis petang semalam.

Lelaki berusia 27 tahun dari Kampung Kijal di sini ditahan polis kira-kira jam 4 petang selepas helahnya dihidu seorang doktor perubatan di hospital tersebut. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum itu kira-kira jam 10 pagi, suspek datang bertemu doktor perubatan berkenaan dengan memperkenalkan dirinya sebagai pelajar perubatan dari sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek yang juga seorang penganggur itu memberitahu doktor berkenaan dia sedang menjalani latihan perubatan di hospital tersebut. 4Pada awalnya doktor berkenaan tidak mengesyaki apa-apa tetapi mula curiga apabila suspek gagal menjawab beberapa soalan mudah mengenai bidang perubatan.

Berikutan itu doktor berkenaan membuat semakan di bahagian pentadbiran dan mendapati tiada rekod pelajar perubatan dari universiti terbabit menjalani latihan perubatan di hospital itu. Doktor berkenaan yang membuat semakan lanjut kemudian mengesan penipuan suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan dibuat, pihaknya menahan suspek yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hospital itu pada jam 4 petang semalam. Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek adalah bekas pelajar kursus fisioterapi di sebuah kolej swasta di Kelantan, namun menamatkan pelajaran kerana masalah kewangan pada 2010.

Hanyan berkata, suspek juga bertindak memalsukan tandatangan pada beberapa dokumen yang dimuat turun dari laman web universiti berkenaan untuk digunakan sepanjang penyamarannya. Malah suspek dikesan melakukan penyamaran sebanyak dua kali termasuk kali pertama selama dua minggu pada Februari lalu. Siasatan juga mendapati dia sudah beberapa kali mengikut doktor membuat pemeriksaan ke atas pesakit sepanjang penyamaran itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran. – SH Online

Leave a Reply