Input your search keywords and press Enter.

Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Dilancarkan

M Update, 4/10/2019 – Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri 2019 dilancarkan untuk menjaga imej kerjaya itu, sekali gus tugas penguatkuasa agama dilaksanakan dengan menekankan dakwah secara berhikmah dan bijaksana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata kod etika yang dilancarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu akan menjadi panduan kepada pegawai penguatkuasa agama di seluruh negeri untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme terutama ketika menjalankan operasi.

“Kod etika ini adalah hasil daripada kontroversi membabitkan kenyataan saya ketika mula-mula dilantik menjadi menteri kononnya saya mengarahkan tidak perlu kepada penguatkuasaan agama.

Daripada situ, saya melihat perlu dibuat satu kod etika lebih komprehensif yang menekankan soal falsafah dan jati diri penguatkuasa termasuk memelihara maruah individu disyaki daripada diaibkan dan seumpamanya. Kod etika ini sudah pun diperkenalkan di semua negeri dan setakat ini di Wilayah Persekutuan, ia sudah berkuatkuasa,” katanya.

Mujahid berkata, ia diharap dapat menjadi panduan kepada penguatkuasa agama supaya tidak bertindak sesuka hati, melainkan mengikut kod etika ditetapkan. Katanya, dalam masa terdekat ini, JAKIM akan turut merangka prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan dan penguatkuasaan kes kesalahan jenayah syariah.

SOP ini amat penting apatah lagi dalam konteks media sosial yang ada pada hari ini. Antaranya ditekankan, konsep nasihat dan teguran yang boleh menjadi pendekatan penguatkuasaan. Selain itu, untuk masuk melakukan serbuan, tidak boleh hanya dengan sangkaan, apatah lagi jika penguatkuasa agama dijadikan alat oleh individu tertentu dengan tujuan mengaibkan orang dituduh.

Bagi merangka draf SOP memerlukan masa panjang, buat masa ini jawatankuasa kerja sedang giat menyiapkannya dan akan nada perubahan termasuk dalam operasi pencegahan maksiat, serbuan di kediaman dan tangkapan,” katanya.

Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2019 anjuran JAKIM dengan kerjasama JAWI itu bertujuan memperkukuh pemahaman dan pengetahuan pegawai penguatkuasa agama serta pendakwa syarie terhadap isu semasa perundangan syariah.

Konvensyen itu dihadiri 200 peserta dalam kalangan pegawai penguatkuasa agama, pendakwa syarie dan pegawai yang menjalankan risikan di bahagian penyelidikan serta pegawai penguatkuasa halal dari seluruh negara. – BH Online

Leave a Reply