Input your search keywords and press Enter.

Dasar Kebersihan Negara Dilancar 3 November Ini

M Update, 9/10/2019 – Dasar Kebersihan Negara yang akan dilancarkan 3 November ini merangkumi hala tuju pengurusan sampah yang lebih luas dan tersusun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, berkata pelaksanaan dasar itu sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa untuk didiami.

KPKT merangka dasar ini ke arah mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara bersih, mapan dan sejahtera melalui pembudayaan kebersihan. Menjadi hasrat kementerian supaya dasar ini menjadi panduan komprehensif kepada pelbagai pihak dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dan seterusnya menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PH-BERSATU Hulu Terengganu mengenai langkah kerajaan menjadikan Malaysia sebagai 10 negara terbersih di dunia menjelang 2020. Zuraida berkata, menerusi dasar itu, pelbagai usaha akan digembleng termasuk melaksanakan pelbagai program kebersihan membabitkan masyarakat.

KPKT akan melaksanakan program membabitkan semua pihak di peringkat keluarga, komuniti, institusi, sektor kerajaan dan swasta serta industri bagi meningkatkan lagi kesedaran menjaga kebersihan.

“Kita juga melihat kepada penguatkuasaan yang lebih tegas menerusi Dasar Kebersihan Negara dan tujuannya supaya rakyat patuh kepada undang-undang.

Justeru, beliau berkata masyarakat perlu mengubah sikap dengan menjadikan kebersihan sebagai amalan kerana ia melambangkan imej diri dan negara.

Leave a Reply