Input your search keywords and press Enter.

Utusan Malaysia Sah Henti Operasi Perniagaan Hari Ini

M Update, 9/10/2019 – Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini mengesahkan penghentian operasi berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dinyatakan dalam satu memorandum pekeliling ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir. Menurutnya, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi ‘solven’ untuk meneruskan perniagaan. Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019. Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” katanya.

Beliau terdahulu dalam memorandum berkenaan menjelaskan, syarikat telah berusaha mengukuhkan keadaan syarikat sejak keadaan merosot selepas Mei 2018. Ia termasuk penawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebelum ini.

“Usaha turut diambil dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat. Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang,” katanya.

Beliau berkata, susulan keputusan penamatan operasi itu, semua kakitangan diminta mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi masing-masing dan mengembalikan semua peralatan dan harta syarikat termasuk kad akses dan kunci pejabat kepada Ketua Jabatan selewat-lewatnya pada jam 1 tengah hari hari ini.

“Sekiranya terdapat keperluan tambahan, kebenaran masuk akan diberikan kepada kakitangan pada Khamis, 10 Oktober 2019 dari jam 9 pagi sehingga jam 6 petang

Selepas dari waktu ini, akses ke pejabat akan dihadkan kepada kakitangan tertentu sahaja. Kelayakan tuan puan untuk faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi,” katanya. – SH Online

Leave a Reply