Input your search keywords and press Enter.

Guna Gajet Berlebihan, Kanak-Kanak Berisiko Mata Kabur, Rabun Jauh

Small boy using a tablet

M Update, 10/10/2019 – Kanak-kanak yang menggunakan gajet tanpa kawalan dan had masa tertentu berisiko tinggi mengalami mata kabur dan kering serta rabun jauh, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri yang juga doktor pakar mata, berkata penggunaan gajet berlebihan juga meningkatkan risiko degenerasi makula, iaitu perubahan tidak sihat pada bahagian saraf (retina) kerana terdedah lama kepada cahaya biru daripada skrin gajet.

“Saya menyarankan ibu bapa mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak mereka dan mengehadkan kepada kurang dua jam sehari,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Bagi mengkaji lebih mendalam kesan penggunaan gajet terhadap kesihatan mata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan akan menjalankan kajian berkaitan peningkatan kes rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.

“Ia membabitkan kesan aktiviti luar dan dalaman (bermain gajet) ke atas peningkatan kes rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak. Ini bertujuan melihat ada atau tidak perbezaan refrective error (ralat pembiasan) dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri mencadangkan program kesedaran mengenai kesihatan mata dapat dilaksanakan di institusi dan pusat jagaan kanak-kanak untuk menerapkan kesedaran penjagaan mata sejak kecil.

“Kita mahu tanamkan kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian sekiranya mempunyai masalah penglihatan. Lebih penting adalah kesediaan untuk mendapatkan rawatan di peringkat awal sebelum masalah kesihatan mata menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau juga mahu aspek penjagaan kesihatan mata diberi perhatian dalam setiap pelaksanaan program kesihatan dan kesedaran di seluruh negara. Katanya, ia penting kerana Malaysia bakal menjadi `negara tua’ menjelang 2030 apabila lebih 15 peratus penduduk akan berusia lebih 60 tahun, sekali gus risiko masalah penglihatan akibat usia lanjut meningkat.

Beliau menjelaskan Tinjauan Mata Kebangsaan Ke-2 2014 menunjukkan seramai 413,000 penduduk yang berusia 50 tahun ke atas menghadapi masalah penglihatan, dengan 113,000 orang mengalami kebutaan, iaitu 43,000 darinya berpunca daripada katarak.

Penyebab utama kebutaan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah katarak pada 58 peratus, retinopati diabetik pada 10 peratus dan glaukoma (7 peratus). Ini agak membimbangkan, namun kebutaan disebabkan faktor ini boleh dicegah dan dirawat jika dikenalpasti awal,” katanya. – BH Online

Leave a Reply