Input your search keywords and press Enter.

Boleh Kena HIV Pakai ‘Fake Braces’

M Update, 14/10/2019 – Pengguna yang menggunakan perkhidmatan pendakap gigi tiruan yang disediakan secara meluas di pasaran, terdedah kepada jangkitan pelbagai jenis penyakit berjangkit termasuk HIV.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Doreyat Jemun berkata, jumlah pengguna pendakap gigi tiruan yang datang ke Klinik Kesihatan Pergigian Awan (KKPA) di seluruh negara semakin meningkat.

“Kedatangan pesakit itu kerana mereka mengalami pelbagai implikasi daripada kesan penggunaan pendakap gigi tiruan yang semakin menjadi ‘trend’ terkini.

Perkara ini membimbangkan apabila masih ramai orang awam terutama remaja yang menggunakan perkhidmatan haram itu kerana murah dan mudah sedangkan mereka berdepan dengan pelbagai risiko. Perkhidmatan haram ditawarkan itu dijalankan tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya dan paling merisaukan kerana kebarangkalian pengguna untuk dijangkiti virus dan kuman sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran World Cavity Free Future Day 2019 di Marang, hari ini.

Doreyat berkata, pihaknya berharap orang ramai sedar mengenai kesan bahaya penggunaan pendakap gigi tiruan terbabit dan mendapatkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dari pihak yang bertauliah.

“Biarpun ia murah berbanding harga pasaran semasa di klinik pergigian swasta, namun pendakap gigi tiruan ini memberi banyak risiko. KKPA menyediakan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi dan manfaatkan kemudahan yang ditawarkan kerana ia selamat dan murah.

Banyak kes berkaitan kesan akibat penggunaan pendakap gigi tiruan direkodkan antaranya gigi menjadi semakin jongang dan ada kes semua gigi tertanggal,” katanya. Menurutnya, pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi palsu itu daripada masa ke semasa.

Sejak 2015 hingga sekarang sebanyak lima kes berkaitan perkhidmatan itu berjaya dicegah dan empat daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

“Kami tahu kesan jangka masa panjang terhadap penggunaan pendakap gigi palsu itu justeru penguatkuasaan akan terus dijalankan,” katanya.

Menurutnya, program kesedaran sentiasa dijalankan bagi memberi peringatan kepada orang ramai selain meningkatkan jumlah kedatangan pesakit gigi dan masyarakat ke KKPA. Bukan hanya pesakit mengalami masalah pergigian sahaja yang perlu datang ke KKPA tetapi semua orang digalakkan datang untuk menjalani pemeriksaan gigi setiap enam bulan sekali,” katanya. – HM Online

Leave a Reply