Input your search keywords and press Enter.

Guna MyKad Palsu : Lelaki Warga Indonesia Dipenjara

M Update, 14/10/2019 – Seorang buruh binaan warga Indonesia dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dalam operasi Rabu lalu.

Tertuduh, Husen Osman, 53, membuat pengakuan salah selepas pertuduhan terhadapnya, dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar. Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.08 pagi di rumah kedai di Jalan Temenggong Fuji Park, Ipoh dengan menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 641209-71-6023 atas nama Ady Wiyono bin Sutowiyono sebagai pengenalan diri miliknya.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan) 2007 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ahmad Firdaus Che Md Rose, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia pada Rabu lalu dan dia dipercayai memberikan kad pengenalan berkenaan sebagai bukti pengenalan diri. Semakan dijalankan dengan JPN kemudian mendapati kad pengenalan atas nama berkenaan tidak wujud dan tertuduh mengaku membeli kad pengenalan berkenaan pada harga RM300.

Terdahulu, Ahmad Firdaus memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman denda maksimum kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius, selain memohon supaya tertuduh diusir semula ke negara asalnya, sebaik tempoh hukuman penjara selesai. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebaik saja dia tamat menjalani hukuman. – BH Online

Leave a Reply