Input your search keywords and press Enter.

Meninggal Dunia Selepas Selesai Mengajar Al-Quran

M Update, 15/10/2019 – Seorang guru al-Quran meninggal dunia sebaik sahaja selesai mengajar di Masjid Wadihana, Mergong, di sini, pagi semalam.

Abdullah Sirajuddin Ahmad, 74, menghembuskan nafas terakhir selepas rebah di ruang mengajar masjid berkenaan kira-kira jam 11 pagi. Anaknya, Syeikh Zainul Mukhtar, 45 memaklumkan, bapanya keluar dari rumah di Kampung Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah kira-kira jam 9 pagi untuk mengajar di masjid berkenaan sejak Mac lalu. Katanya, bapanya seorang yang aktif mengajar al-Quran di beberapa masjid sekitar Alor Setar selepas pencen sebagai penghulu.

Bapa saya adalah qari al-Quran negeri Kedah satu ketika dulu, beliau aktif mengajar taranum di masjid dan di rumah, dan sering dijemput menjadi juri pertandingan membaca al-Quran.

Semalam, pada mulanya saya dihubungi oleh ibu mengatakan bapa cuma pengsan di masjid, namun apabila ke sana, bapa sudah meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan yang berada di situ,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu. Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, bapanya sebelum ini tidak pernah mengadu sakit dada mahupun penat, namun arwah mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Syeikh Zainul berkata, beliau dimaklumkan oleh seorang anak murid bapanya yang dikenali sebagai abang Harun bahawa bapanya ‘pergi’ dengan sangat mudah sebaik sahaja rebah dari tempat duduknya.

“Kematian bapa saya menjadi tular dan arwah dijemput dalam keadaan baik, di rumah beliau sentiasa dengan al-Quran, jika tidak mengajar beliau akan membaca al-Quran. Boleh dikatakan hidupnya hanya dengan kitab suci itu, dia juga ramai kawan dan anak murid, arwah sering berpesan supaya menjaga pertuturan dan menjaga adab dengan orang ramai.

Selepas ini kami anak-anak pasti merindui alunan bacaan al-Quran beliau, namun Allah lebih sayangkan bapa dan kami reda dengan pemergiannya“ katanya. Jenazah Abdullah Sirajuddin disemadikan di tanah perkuburan Kampung Charuk Kudong Pendang kira-kira jam 6 petang semalam. – BH Online

Leave a Reply