Input your search keywords and press Enter.

Jenazah Kakitangan PKNS Dibawa Pulang Hari Ini Atau Sabtu

M Update, 18/10/2019 – Jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan, 50, yang terbabit dalam kemalangan di Turki semalam akan dibawa pulang ke tanah air selewat-lewatnya Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek, berkata ketika ini, PKNS sedang menguruskan semua proses berhubung perkara itu termasuk menempah tiket penerbangan.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan penerbangan pulang yang paling awal, mungkin esok atau Sabtu ini. Berkemungkinan, kakitangan lain yang turut menyertai rombongan ke Turki itu juga akan dibawa pulang dalam penerbangan sama.

Mangsa yang sedang dirawat di hospital pula, sekiranya dibenarkan keluar, mereka juga akan pulang sekali,” katanya. Norita berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kemalangan terbabit berpunca daripada satu tayar bas yang meletup. Katanya, berikutan masalah itu, pemandu bas gagal mengawal kenderaan dan terbabas sebelum terbalik hingga mengakibatkan Azalan yang sudah berkhidmat selama 28 tahun, maut.

PKNS juga difahamkan, sembilan kakitangan lain turut cedera dan ada yang masih dirawat di tiga hospital berlainan. Kakitangan PKNS yang tidak cedera dan dibenarkan keluar hospital kini ditempatkan di hotel penginapan sementara yang disediakan Kedutaan Malaysia di Ankara,” katanya. – BH Online

Leave a Reply