Input your search keywords and press Enter.

Upin Ipin : Keris Siamang Tunggal Ke Oscar 2020

M Update, 18/10/2019 – Filem animasi terbitan Les’ Copaque Production, Upin Ipin : Keris Siamang Tunggal tersenarai antara 32 calon kategori Filem Animasi terbaik yang bakal dipertandingkan pada Anugerah Akademi Ke-92.

Mencetuskan perbualan dalam kalangan warganet, kejayaan filem itu menembusi Oscar 2020 adalah atas usaha Les’ Copaque membawa watak kembar popular itu ke Hollywood. Berikutan itu, Upin dan Ipin bakal bersaing dengan filem animasi antarabangsa lain seperti Frozen 2, Toy Story 4 dan Angry Bird 2.

Ketua Pegawai Eksekutif Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya membawa Upin dan Ipin ke Anugerah Akademi selepas mencapai kejayaan di Festival Filem Montreal.

“Saya diberitahu skrip filem ini berbeza dan memenuhi kemahuan penonton. Malah, imej dan jalan cerita baharu menarik perhatian penonton Barat. Jadi, ia memberi keyakinan kepada saya untuk melabur RM300,000 bagi menjejakkan kaki ke Oscar 2020.

“Semestinya harapan kami tinggi kerana wang yang dibelanjakan bukan sedikit,” katanya.

Burhanuddin berkata, antara syarat ditetapkan penganjur Anugerah Akademi adalah Upin Ipin : Keris Siamang Tunggal hendaklah ditayangkan tiga kali sehari selama seminggu di pawagam di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

“Kita perlu menayangkan filem ini sebelum Disember. Pada masa sama, keuntungan bakal diperoleh daripada penjualan tiket di sana,” katanya.

Beliau berkata, usaha membawa Upin dan Ipin ke Oscar 2020 bertujuan membakar semangat pembikin filem tempatan.

“Kita mahu bakar semangat penggiat seni dan penerbit filem agar dapat menghasilkan sesuatu yang setaraf dengan filem antarabangsa. Sampai bila kita hendak berada di takuk yang sama. Saya berharap mana-mana pihak yang menyedari inisiatif kami dapat membantu daripada aspek kos tayangan di LA kelak,” katanya.

Sebelum ini, dokumentari berkisar pembentukan Malaysia Baharu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), M For Malaysia dilaporkan mewakili negara dalam kategori filem cereka antarabangsa pada Anugerah Akademi Ke-92. – BH Online

Leave a Reply