Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Kaji Semula Akta Berkaitan Cubaan Bunuh Diri

M Update, 21/10/2019 – Kerajaan sedang mengkaji untuk meminda undang-undang sedia ada yang mengkategorikan cubaan membunuh diri adalah kesalahan jenayah, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia susulan saranan supaya cubaan membunuh diri tidak dikategorikan sebagai perbuatan jenayah dengan mengeluarkan kesalahan itu daripada Kanun Keseksaan. Sambil menyatakan jumlah kes cubaan membunuh diri semakin meningkat, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan perbincangan mengenai perkara itu membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan pihaknya bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sudah menekankan keperluan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Perkara itu akan turut dimaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Saya sangat setuju kerana ia satu daripada masalah dan kadar bunuh diri meningkat. Jadi kita mahu ‘decriminalisation’ (tidak dikategorikan sebagai perbuatan jenayah) bunuh diri.

“Difahamkan, Pejabat Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu ini, sebelum dibincangkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong,” katanya.

Dr Wan Azizah diminta mengulas saranan Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, yang meminta Ahli Parlimen memberi perhatian serius terhadap isu kesihatan mental. Semalam, Lam Thye dilaporkan menggesa kerajaan supaya memansuhkan undang-undang yang menganggap cubaan membunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Dr Wan Azizah berkata, perbincangan mengenai isu berkenaan perlu dilakukan secara menyeluruh, sebelum sebarang maklum balas mengenainya dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Saya kira kena buat banyak penilaian walaupun kita tak tertangguh. Apa-apa cubaan membunuh diri adalah serius, tanpa mengira status mahu pun populariti,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply