Input your search keywords and press Enter.

PM : Skim Pencen Baharu Tidak Bebankan Kerajaan, Tidak Rugi Pekerja

M Update, 22/10/2019 – Mekanisme baharu skim pencen akan mengelakkan bebanan kepada kewangan kerajaan tetapi pada masa sama tidak merugikan penjawat awam selepas menamatkan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi jaminan skim baharu itu tidak akan membabitkan kakitangan sedia ada yang akan terus menerima faedah pencen seperti biasa jika beralih kepada skim baharu. Katanya, penjawat awam sedia ada akan kekal dengan perjanjian mereka tandatangani dan skim baharu hanya membabitkan pekerja baharu.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengabaikan perjanjian yang ditandatangani dengan pekerja.

“Kita tak boleh abaikan perjanjian dengan pekerja. Mereka yang bekerja mengikut dasar lama akan kekal dengan dasar berkenaan,” katanya.

Khairy meminta jaminan kerajaan terhadap pekerja semasa khususnya membabitkan ganjaran terbitan, pencen dan perubatan jika dasar baharu dilaksanakan. Kepada soalan tambahan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) berhubung kebajikan pesara badan berkanun yang diswastakan seperti Lembaga Padi Negara (LPN) yang kini semakin berusia dan tidak lagi mampu bekerja untuk menyara hidup dan bayaran perubatan, Dr Mahathir berkata kerajaan prihatin terhadap kebajikan mereka.

Katanya, kerajaan sememangnya ingin memberikan seberapa banyak bantuan kebajikan tetapi keupayaan kewangan terhad. Beliau berkata, ini ditambah dengan kos rawatan perubatan yang semakin meningkat terutama membabitkan pembedahan.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berhubung skim lantikan kontrak dan kerajaan jangan membuang `tongkat’ (bantuan) yang diberikan kepada pekerja Melayu, Perdana Menteri berkata, orang Melayu kena ingat bahawa kerajaan tidak mampu memberikan pekerjaan kepada semua. Katanya, sebab itulah kerajaan memberikan pelbagai latihan kepada mereka sejajar Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). – BH Online

Leave a Reply