Input your search keywords and press Enter.

Pengharaman Komik Propaganda Atas Dasar Ketenteraman, Keselamatan Bukan Sentimen

M Update, 24/10/2019 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai asas kukuh mengharamkan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ kerana boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Justeru, keputusan KDN mewartakan larangan terhadap komik berkenaan dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina bukan berdasarkan kepada sentimen atau politik. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata KDN sudah meneliti kandungan komik terbabit dan ia mengandungi perkara serius termasuk ia diedarkan di sekolah.

“Kita sudah meneliti dan mengkaji dengan mendalam, memang ada asas kukuh. (Keputusan warta perintah larangan) bukan kerana ada apa-apa sentimen atau tindakan politik dari mana-mana pihak.

“Keputusan dibuat berdasarkan isi kandungan (komik) apatah lagi ia diedarkan ke sekolah. Jadi isu ini sudah menjadi satu perkara yang serius,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

KDN semalam mewartakan perintah larangan terhadap komik terbabit termasuk dalam versi Bahasa Inggeris dan Cina kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.

Sehubungan itu, sesiapa yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata KDN akan melakukan tindakan susulan dan merampas komik berkenaan jika masih dalam edaran di pasaran.

Disebabkan isu ini menjadi perkara serius, saya terpaksa mengambil tindakan secepat mungkin. Jadi saya menasihatkan supaya jangan membaca komik terbabit dan mengelak daripada menggunakan bahan bacaan itu,” katanya. – BH Online

Leave a Reply