Input your search keywords and press Enter.

Dr Mahathir Tiba Di Baku Untuk Sidang Kemuncak NAM Ke-18

M Update, 25/10/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di ibu negara Azerbaijan, malam tadi, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Ke-18.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev pada jam 7.15 malam waktu tempatan (empat jam lewat waktu Malaysia).

Ketibaan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Azerbaijan, Shahin Mustafayev; Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Yubazlan Yusof; dan pegawai kanan kedua-dua negara. Hari ini, Dr Mahathir dijadualkan ditemu bual oleh Islam Channel yang berpangkalan di United Kingdom sebelum bersama-sama pemimpin dari lebih 20 negara pada perasmian Sidang Kemuncak NAM Ke-18 di Pusat Kongres Baku.

Perdana Menteri kemudian akan mengambil bahagian dalam Perdebatan Umum mengenai Sidang Kemuncak bertemakan ‘Berpegang Kepada Prinsip Bandung’ bagi memastikan tindak balas bersama dan mencukupi terhadap cabaran dunia semasa. Kali terakhir Dr Mahathir menghadiri Sidang Kemuncak NAM ialah apabila Malaysia menjadi hos pada 2003.

Pegawai Malaysia berkata, Dr Mahathir dalam ucapannya pada sesi pleno, dijangka menyentuh mengenai keadaan semasa perkembangan dunia, impak perang perdagangan, memerangi perang, isu Palestin dan keperluan untuk NAM kekal bersatu. Beliau juga dijangka bertemu beberapa pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak selama dua hari itu, antaranya, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Pada hari ketiga di sini, Dr Mahathir dijadualkan melawat Greentech Farm, sebuah kompleks rumah kaca moden yang menggunakan teknologi terkini dalam pengeluaran sayur-sayuran organik. Beliau juga akan melawat pejabat PETRONAS yang setakat ini sudah melabur lebih AS$4 bilion (RM16.74 bilion) di Azerbaijan.

Menurut laporan, PETRONAS mempunyai pegangan 15.5 peratus dalam projek Shah Deniz dan South Caucasus Gas Pipeline serta 12.4 peratus kepentingan dalam Syarikat Bekalan Gas Azerbaijan. Dr Mahathir juga akan bertemu diaspora Malaysia di Azerbaijan dan mengadakan sidang media untuk media Malaysia sebelum berlepas ke Ashgabat untuk lawatan dua hari ke Turkmenistan. – BERNAMA

Leave a Reply