Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Percepat Jadikan Penagihan Dadah Bukan Jenayah

M Update, 29/10/2019 – Kerajaan akan mempercepatkan usaha menyahjenayahkan penagihan dadah dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Ketua Setiausaha Negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata jawatankuasa itu ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Kabinet minggu lalu. Jawatankuasa khas itu, katanya, akan membincangkan bagaimana untuk membezakan antara penagih dan pengedar dadah serta kaedah membantu mereka yang terbabit masalah penagihan dadah, bagi menggantikan hukuman penjara.

Jawatankuasa ini membabitkan KBS kerana ini isu anak muda. Berdasarkan statistik 2018, sebanyak 18,967 kes penagihan dadah membabitkan anak muda berbanding hanya 6,300 kes bagi golongan dewasa. Ini bermaksud jumlah kes penagihan dadah membabitkan anak muda tiga kali ganda lebih tinggi berbanding golongan dewasa, sekali gus menjadikan isu ini serius.

“Pendirian KBS dalam mesyuarat Kabinet dan jawatankuasa khas anak muda adalah untuk kita asingkan rawatan antara penagihan dadah dengan pengedar dadah. Penagih dadah bukan penjenayah dan tidak patut dipenjarakan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Syed Saddiq menegaskan, golongan penagih dadah tidak wajar dipenjarakan kerana hukuman itu hanya akan memusnahkan masa depan mereka, selain mendorong kumpulan itu melakukan jenayah lain atau kembali menagih dadah.

“Apabila penagih dipenjara, mereka akan ada kes jenayah, menyebabkan kebolehan untuk mereka kembali kepada masyarakat, diberi pekerjaan dan ditempatkan semula dalam keluarga akan berkurangan mendadak.

Cukuplah hidup mereka rosak kerana pengaruh dadah, mereka tidak perlu dipenjara, tidak dapat bekerja dan kembali dalam masyarakat, didiskriminasi dan akhirnya kembali terjerumus dengan masalah dadah,” katanya yang menegaskan penyelesaian akan memfokuskan ke arah pemulihan.

Ditanya bagaimana kerajaan akan mengasingkan antara penagih, salah guna dan pengedar dadah, Syed Saddiq berkata, jawatankuasa itu akan mengambil kira beberapa perkara termasuk piawaian antarabangsa.

Ada banyak piawaian antarabangsa untuk membezakan, selain ambil kira kuantiti dadah dan isu seperti jika individu ditangkap sebelum sempat mengambil dadah, tetapi bersamanya ada sejumlah besar dadah, cara mengklasifikasi penagih atau pengedar dadah. Ini akan dibincang dan diselesai secepat mungkin,” katanya. – BH Online

Leave a Reply