Input your search keywords and press Enter.

Lapan Lelaki Termasuk Dua ADUN Didakwa Berkaitan Pengganas LTTE

Foto : Bernama

M Update, 29/10/2019 – Lapan lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di beberapa negeri hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pendakwaan mengemukakan dua pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada kumpulan LTTE mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Juga pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan itu di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan. Di Mahkamah Sesyen Melaka, dua ADUN itu, G. Saminathan, 34; P. Gunasekaran, 60, dan ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov, 2018.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri pada 10.25 pagi, 10 Okt lepas.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak, juruteknik S. Arivainthan, 27, dan pemandu teksi V. Balamurugan, 37, menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Dis, 2014.

Di Mahkamah Sesyen Selayang di sini, pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 28, didakwa atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Okt lepas. Antara item itu ialah cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), dan pelekat berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Di Segamat, Johor, penghantar surat S.Teran, 38, didakwa melakukan kesalahan sama di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Okt lepas. Seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, pengajar subjek bahasa Inggeris dan fizik, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor atas kesalahan serupa di No 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada 2.30 petang, 12 Okt lepas. Kesemua mahkamah menetapkan 18 Nov dan 16 Dis untuk sebutan semula kes.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian. Di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai.- BERNAMA

Leave a Reply