Input your search keywords and press Enter.

Dr Mahathir Optimis Pemulihan Negara

M Update, 30/10/2019 – Kerajaan baharu sudah bekerja lebih masa meningkatkan usaha untuk memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan melaksanakan pembaharuan penting untuk meningkatkan kestabilan, pengukuhan pengurusan fiskal dan meningkatkan ketelusan tadbir urus korporat. Bagaimanapun, katanya, kerajaan terus dibebani hutang besar yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

“Sejak perubahan kerajaan satu setengah tahun lalu, kita membongkar satu persatu penyelewengan. Kini, kita boleh melihat jalan menuju pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Sidang Kemuncak Korporat PNB di sini, hari ini. Ucapan Perdana Menteri mencakupi peranan korporat Malaysia dalam mengubah pasaran serta memacu ekonomi negara.

Dr Mahathir berkata, walaupun kerajaan mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah ditinggalkan kerajaan terdahulu, ia mengambil masa untuk memperbaiki keadaan fiskal. Katanya, kerajaan tetap komited untuk melaksanakan inisiatif yang diperlukan untuk mencapai matlamat utama menyusun semula ekonomi secara progresif, berasaskan pengetahuan dan memperkasa kehidupan rakyat.

Perdana Menteri turut yakin Malaysia berada pada tahap yang tinggi untuk mencapai kemajuan kerana mempunyai banyak sumber mencakupi pelbagai prospek. Katanya, negara kita sudah bersedia untuk memulakan era pertumbuhan baharu. Walaupun matlamat ini boleh dicapai, namun kerajaan perlu bersedia berhadapan sebarang cabaran sama ada jatuh atau bangun,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun Malaysia negara kecil, kerajaan boleh memanfaatkan peluang dengan membina kekuatan sendiri. Beliau turut meminta sektor korporat untuk melihat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2021-2030) sebagai matlamat untuk dicapai dalam semua aspek.

“Ini bukan hanya retorik atau janji kosong. Ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia diberi peluang untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia pada dasarnya tidak kalis kepada ketidaktentuan faktor luaran, namun dari segi konteks yang lebih meluas, rantau Asia Pasifik menunjukkan petunjuk ekonomi yang baik.

Ini menjadikan Asia Tenggara hab pertumbuhan ekonomi dengan populasi golongan muda, Malaysia di tengah-tengahnya dan dalam kedudukan yang sangat penting. Walaupun kita sebuah negara kecil berbanding negara lain, negara kita boleh memanfaatkan peluang ini dengan membina asas yang kukuh,” katanya. – BH Online

Leave a Reply