Input your search keywords and press Enter.

Imigresen Nafi Terbabit Iklan Tawaran Perkahwinan Warga Asing

M Update, 31/10/2019 – Jabatan Imigresen hari ini menafikan pembabitan dalam iklan tawaran perkahwinan warga asing dengan wanita tempatan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Iklan itu menyatakan warga asing yang ingin berkahwin dengan wanita tempatan perlu membayar RM300,000 kepada wanita berkenaan dan keluarganya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sepasukan anggota yang menjalankan pemeriksaan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam menemui papan iklan itu yang dimiliki oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati papan iklan itu dijadikan bahan promosi kepada orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

“Pada awalnya, lelaki terbabit enggan memberikan kerjasama dan hasil perbincangan lanjut, dia akhirnya memadamkan perkataan ‘Imigresen’ dari papan iklannya yang turut menyatakan temuduga dan rujukan dilakukan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit juga bersetuju untuk menurunkan papan iklan itu. Khairul Dzaimee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran maklumat palsu atau tidak benar berkaitan jabatan itu dan menggesa orang awam untuk menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan rakyat. – Bernama

Leave a Reply