Input your search keywords and press Enter.

PM : Mahasiswa Jangan Jadi Kader, Tunggangan Kelompok Berkepentingan

M Update, 31/10/2019 – Mahasiswa hendaklah meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional supaya apa juga tindakan diambil atas prinsip kebebasan, masih di bawah nilai kesopanan, kesusilaan dan norma kebudayaan masyarakat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi membuta tuli atau hasutan pihak lain, agar darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikaikan.

“Apabila mahasiswa dilihat sebagai kader atau tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa depan akan tercalar,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kini menjalankan usaha memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa melalui pelbagai pendekatan. Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, ruang kebebasan lebih besar itu harus disertai dengan rasa tanggungjawab yang sewajarnya, di samping disemai dengan nilai yang baik dan diiringi integriti tinggi.

“Kebebasan itu, seperti kemerdekaan, amat bernilai. Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna ataupun membawa erti yang besar,” katanya.

Mengenai Mesyuarat MPPK, Dr Mahathir berkata, kerajaan melihatnya sebagai satu platform penting pembabitan secara langsung mahasiswa di dalam fungsi legislatif sebuah negara demokrasi. Katanya, kerajaan percaya bahawa persoalan umum yang membabitkan pelbagai pihak tidak wajar diputuskan oleh beberapa orang individu sahaja.

“Oleh itu, mekanisme ‘syura’ ataupun perbincangan bersama menjadi pendekatan terbaik yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa dapat didengari melalui konsep bermusyawarah.

“Keterbukaan kerajaan dalam menerima cadangan dan mendengar suara mahasiswa hari ini adalah peluang bagi mahasiswa untuk terbabit secara langsung dalam sistem pentadbiran negara. Ini kerana kerajaan percaya mahasiswa adalah pelapis yang mempunyai sifat kepemimpinan tinggi untuk mengemudi negara pada masa akan datang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat MPPK juga adalah simulasi latihan terbaik kepada mahasiswa sebagai persiapan menjadi pelapis kepada kepemimpinan negara pada masa akan datang. Pengalaman yang digarap dalam Mesyuarat MPPK tidak boleh diperolehi di tempat lain. Malah, peluang ini terhad kepada pemimpin mahasiswa yang dilantik melalui pilihan raya di setiap institut pengajian tinggi.

Mesyuarat MPPK adalah pendedahan awal di dalam menyerlahkan kewibawaan mahasiswa untuk mentafsir dan menilai sesuatu perkara dari pelbagai sudut. Kekhilafan dalam membuat keputusan akan memberi impak sangat besar terhadap kesejahteraan negara. Oleh itu, Mesyuarat MPPK adalah medium terbaik untuk mendidik mahasiswa daripada membuat keputusan terburu-buru dan tidak dicapai dengan kepanasan ‘darah muda’,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 2018, sebanyak 86 kertas pertimbangan dibahaskan dalam Mesyuarat MPPK, antara gagasan berimpak tinggi pernah dihasilkan melalui ialah cadangan mewujudkan Kad Diskaun Siswa, bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar. – BH ONline

Leave a Reply