Input your search keywords and press Enter.

Dr Mahathir Ketuai Delegasi Ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35

M Update, 1/11/2019 – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 di sini, mempunyai jadual yang padat dengan mesyuarat berturut-turut bermula Sabtu, 2 Nov.

Beliau dijadualkan menghadiri sekurang-kurangnya lapan mesyuarat sidang kemuncak dengan para pemimpin dari perkumpulan berkenaan dan dari rantau ini, serta dua pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dari Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha dan dari Australia Scott Morrison semasa sidang kemuncak tiga hari itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT, di sini.

“Agenda-agenda utama mesyuarat ini adalah bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan isu-isu serantau dan antarabangsa,” kata Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel pada sidang media sempena lawatan kerja perdana menteri ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 di Bangkok.

Perdana menteri dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dijadualkan tiba di Thailand pada hari ini. Lawatan kerja beliau akan bermula Sabtu dengan menghadiri Pameran Komuniti ASEAN di Pusat Pameran IMPACT di Nonthaburi di mana beliau akan melawat tapak pameran Malaysia dan memberi sokongan bagi promosi Kempen Melawat Malaysia Tahun 2020.

Dr Mahathir kemudian dijadual menghadiri Sesi Dialog Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS 2019) yang bertemakan ‘Empowering ASEAN 4.0’, anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan diikuti dengan sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang akan membincangkan agenda ‘Advancing Partnership for Sustainability’ serta hubungan luar dan hala tuju masa depan ASEAN serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

Sepanjang persidangan tiga hari itu perdana menteri akan menghadiri lapan mesyuarat iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-16, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-10, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-7, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-14, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-22 dan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ketiga.

Menurut Jojie, Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 ini penting kerana ia akan memberi peluang kepada para pemimpin ASEAN untuk menilai semula dan mengkaji isu-isu semasa dan agenda Komuniti ASEAN berikutan penubuhan Komuniti ASEAN dan perakuan ASEAN 2025: Melangkah Ke Hadapan Bersama (Visi ASEAN 2025) pada 2019 serta keberhasilan Kepengerusian ASEAN oleh Thailand.

Beliau berkata sidang kemuncak kali ini akan menyaksikan sebanyak 13 dokumen dikeluarkan, 14 dokumen diperakukan dan 16 dokumen diambil maklum. Turut mengiringi Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking. – BERNAMA

Leave a Reply