Input your search keywords and press Enter.

Mengaku Tekap Tapak Kaki, Lutut Zulfarhan Guna Sterika Wap – Tertuduh

M Update 5/11/2019 – Tertuduh pertama kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, semalam mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia menekap bahagian tapak kaki dan lutut mangsa menggunakan seterika wap.

Muhammad Akmal Zuhairi, 23, turut mengakui Zulfarhan menjerit kesakitan, setiap kali ditekap dengan seterika wap dan mangsa tidak melawan. Tertuduh berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, pada prosiding membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa mangsa bukan saja ditekap di dua bahagian itu, malah juga di bahagian lain. Kepada soalan Julia bahawa dia hanya menyapu losyen gamat pada luka dialami Zulfarhan sepanjang 23 hingga 26 Mei 2017, tertuduh berkata: “Ya.”

Muhammad Akmal membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi pada 27 Mei 2017, namun tidak membawanya ke Klinik UPNM kerana ketika itu cuti semester.

“Ketika di klinik itu, saya, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem Mohd Ali (dua tertuduh) masuk sekali ke dalam bilik rawatan. Tiada surat daripada doktor untuk rujuk Zulfarhan ke hospital,” katanya.

Kepada cadangan Julia bahawa ada 90 kesan Zulfarhan dicucuh seterika dan dikatakan dia mencucuh Zulfarhan dengan seterika wap sebanyak 18 kali, Muhammad Akmal berkata: “Tidak setuju.”

Muhammad Akmal turut tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa selain dirinya, empat lagi tertuduh lain iaitu Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri juga menekap Zulfarhan menggunakan seterika berkali-kali secara bergilir-gilir.

Julia: “Sepanjang Zulfarhan dicucuh dengan seterika, adakah kamu cuba untuk menghentikan perbuatan itu?”

Muhammad Akmal: “Tidak hentikan.”

Tertuduh juga mengakui sebagai pegawai kadet dan pelajar universiti itu, tindakan yang dilakukannya itu salah dan tidak mengikut undang-undang. Muhammad Akmal berkata selepas, Zulfarhan mengaku mengambil komputer riba dan memohon maaf serta meminta sedikit masa untuk mengganti semula barangan itu, dia tidak membuat laporan kepada pihak atasan

Julia: “Saya katakan kamu tak buat laporan sebab kamu tahu perbuatan kamu memukul Zulfarhan adalah salah dan akan diambil tindakan.”

Muhammad Akmal: “Saya tak setuju. Kebiasaannya, di UPNM tak ada apa yang berlaku.”

Julia: “Jadi budaya di situ, pukul orang tak ada apa yang berlaku, curi komputer riba kena buang. Itu yang kamu maksudkan?”

Muhammad Akmal: “Ya, Yang Arif.”

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, Muhammad Akmal menjelaskan dia membawa Zulfarhan keluar dari UPNM untuk mendapatkan rawatan di klinik itu kerana ingin tahu keadaan luka di tubuh badan mangsa, sama ada berlaku jangkitan atau tidak. Disoal Amer Hamzah jika tertuduh ada memohon maaf kepada Zulfarhan dan bagaimana keadaan mangsa ketika itu, tertuduh menjawab ada meminta maaf kepada Zulfarhan kerana menggunakan seterika wap terhadap rakannya itu.

“Keadaan Zulfarhan ketika itu baik dan lukanya ada yang beransur pulih serta ada yang berair,” katanya.

Amer Hamzah: “Boleh jelaskan kenapa kamu tidak setuju dengan cadangan pendakwaan bahawa kamu dan rakan-rakan melakukan cucuhan menggunakan seterika berulang kali secara bergilir-gilir?”

Muhammad Akmal: “Sebab saya tak nampak mereka buat guna seterika. Selepas saya buat (tekap) saya pergi tandas dan keluar merokok.”

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Semua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti itu, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017. Perbicaraan di hadapan Azman bersambung esok. – BERNAMA

Leave a Reply