Input your search keywords and press Enter.

KDN Gubal RUU Bahan Khayal Tangani Ketagihan Gam

M Update, 6/11/2019 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka undang-undang khusus bagi menangani masalah ketagihan gam dan bahan khayal.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, menjelaskan pihaknya kini giat menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Bahan Khayal supaya dapat dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat. KDN juga akan meminda Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi meningkatkan pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dalam kalangan penagih dadah.

“RUU Bahan Khayal dan pindaan terhadap Akta Penagihan Dadah antara usaha yang dilakukan bagi memperkasakan lagi hala tuju Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejajar dengan Dasar Dadah Negara yang diluluskan pada 2017.

“Kita turut mempertingkatkan keberkesanan pengurusan AADK dengan memberi peruntukan tambahan dan pengisian jawatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) mengenai perancangan bagi memperkasa dan memperluaskan bidang kuasa AADK. AADK juga akan melaksana projek rintis bermula tahun depan bagi memperkukuhkan peranan agensi itu dalam usaha membasmi penagihan dadah.

“Selaras usaha kerajaan membangunkan komuniti melalui pembabitan badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan bersetuju memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan projek rintis AADK tahun depan. Projek rintis ini akan membabitkan kerjasama sembilan kementerian dan 15 agensi serta jabatan berkaitan,” katanya.

Sumber : BH ONline

Leave a Reply