Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan : Fokus Perangi Rasuah, Jenayah Kewangan

M Update, 6/11/2019 – Kerajaan fokus memerangi rasuah dan jenayah kewangan menerusi pelbagai penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan budaya integriti diperkukuhkan yang akan menjadi norma baru di Malaysia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Inisiatif Kerjasama Awam-Swasta (PPP) diwujudkan bagi memerangi pembiayaan jenayah dan keganasan membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti dan pelbagai agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata, rakyat perlu memainkan peranan mereka terhadap jenayah kewangan supaya negara ini dapat berubah menjadi negara maju dalam memelihara integriti sistem kewangan Malaysia.

“PPP ini akan terus patuh kepada kerangka perlindungan maklumat peribadi bagi menangani pembiayaan jenayah dengan lebih baik. Ia dicapai melalui perisikan kewangan yang berkesan, tepat pada masanya dan lancar daripada institusi kewangan untuk tujuan pencegahan jenayah serta penguatkuasaan undang-undang.

“Pengesanan yang lebih berkesan terhadap urus niaga yang mencurigakan oleh institusi kewangan akan mengurangkan jenayah kewangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, komponen utama model PPP di seluruh dunia adalah penekanan terhadap perlindungan data peribadi dan kerahsiaan sebagai penanda aras terhadap Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR).

“Bagi PPP di Malaysia, penguatkuasaan undang-undang dan institusi kewangan akan terus mematuhi rangka kerja perundangan perlindungan data Malaysia dalam memerangi jenayah kewangan.

“Saya percaya usaha ini perlu diperkuat dan diperluas untuk membolehkan lebih ramai pihak terutama orang awam melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memerangi rasuah dan jenayah kewangan selain penambahbaikan berterusan perlu dilakukan secara holistik.

“Usaha bersepadu untuk menangani pembiayaan jenayah dan keganasan amat dihargai, namun kepincangan sering terarah kepada kelemahan tadbir urus serta aspek integriti kerajaan,” katanya.

Menurutnya, penjenayah kekal lolos mendalangi pelbagai kegiatan walaupun kerajaan merangka rangkaian perundangan yang bersifat komprehensif.

“Saya pernah mengatakan sebelum ini, amalan rasuah dilakukan menerusi ‘di bawah meja’ sehingga menjadi satu kebencian serta merosakkan masa depan negara, namun beberapa tahun kebelakangan ini, rasuah dilakukan secara terbuka oleh pemimpin tertinggi.

“Rasuah diterima secara meluas dan sesiapa yang tidak mengambilnya akan dianggap bodoh. Rasuah menjadi sebati dalam kehidupan, sekali gus menyaksikan wang diberikan untuk pelbagai tujuan dan diangkat sebagai ‘raja baharu.

Justeru, menjadi harapan rakyat untuk melihat kerajaan baru menegakkan tadbir urus yang baik dan integriti untuk menghapuskan amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya

Leave a Reply