Input your search keywords and press Enter.

SKMM : Pancaran Radiasi Menara Telekomunikasi Tak Bahaya

M Update, 6/11/2019 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pembinaan menara telekomunikasi berdekatan kawasan perumahan tidak menjejaskan kesihatan masyarakat sekitar termasuk golongan warga tua dan kanak-kanak.

SKMM dalam kenyataan, hari ini, berkata pembinaan atau penempatan menara telekomunikasi dilakukan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Ini termasuk jarak antara menara telekomunikasi dengan kawasan perumahan. Selain itu, kadar pancaran Frekuensi Radio Medan Elektromagnet (RF-EMF) dari menara itu adalah terkawal pada setiap masa iaitu di bawah had disyorkan mengikut garis panduan ditetapkan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP),” katanya.

Menurut SKMM, teknologi komunikasi mudah alih menggunakan frekuensi radio dan tergolong dalam kategori sinaran tidak mengion (NIR). Katanya, ia tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk mengganggu struktur molekul atau sel tubuh manusia.

“Tambahan pula, pendedahan berterusan terhadap NIR tidak akan mengakibatkan kerosakan jangka panjang pada tisu badan manusia,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM berkata, sebanyak 24,000 kajian mengenai kesan EMF oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi dibuat sepanjang 30 tahun oleh saintis di seluruh dunia. Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merumuskan bahawa sudah terbukti pendedahan EMF oleh struktur terbabit terhadap sistem biologi tidak menjejaskan kesihatan.

“Fakta ini turut disokong Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan bahawa tiada bukti saintifik meyakinkan untuk mengaitkan dakwaan risiko radiasi terhadap kesihatan daripada pemancar telekomunikasi,” katanya.

Selain itu katanya, ujian tahap pancaran frekuensi radio (RF) kendalian Agensi Nuklear Malaysia (ANM) di seluruh negara turut mendapati radiasi di kawasan sekitar pemancar adalah amat rendah dan berada pada tahap selamat.

“SKMM menegaskan orang awam supaya merujuk kepada sumber sahih atau pakar bertauliah diiktiraf kerajaan bagi mengelakkan salah faham berkenaan isu RF-EMF ini,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply