Input your search keywords and press Enter.

Kementerian Sumber Manusia Perincikan 693,305 Kekosongan Jawatan

M Update, 8/11/2019 – Kementerian Sumber Manusia hari ini memperincikan kekosongan pekerjaan di seluruh negara membabitkan 693,305 jawatan, iaitu 50,326 bagi siswazah dan 642,979 kategori pekerjaan bukan siswazah.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan, berkata berdasarkan statistik Portal JobsMalaysia, kekosongan aktif bagi kategori tinggi sehingga 31 Ogos 2019 ialah pengurusan membabitkan 6,348 kekosongan, profesional (21,034) serta juruteknik dan profesional bersekutu (22,944).

Bagi tempoh sama kategori sederhana, perkeranian merekodkan 6,622 kekosongan jawatan, perkhidmatan dan jualan (25,586) serta pekerja mahir pertanian, perhutanan dan perikanan (1,083). Kekosongan aktif bagi kategori rendah pula ialah pekerja pertukangan dan yang berkaitan (21,421), operator, loji, mesin dan pemasang (99,029) serta pekerja asas (489,238).

Dari Januari hingga Ogos 2019, seramai 270,288 orang pendaftar aktif terdiri 197,193 siswazah dan 73,095 bukan siswazah telah mendaftar sebagai pencari kerja. Penempatan pencari kerja keseluruhan pada tahun 2018 iaitu, seramai 168,677 orang pencari kerja yang terdiri 47,073 siswazah dan 121,604 bukan siswazah.

“Bagi tahun 2019 pula, sehingga Ogos seramai 61,871 pencari kerja telah ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia menjelaskan Survei Guna Tenaga Suku Tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan jumlah penjawatan sektor swasta meningkat 145,000 jawatan berbanding suku tahun terdahulu. Katanya, pada suku kedua tahun lalu, sejumlah 8,474,000 jawatan direkodkan berbanding bagi tempoh sama tahun ini yang mencecah 8,619,000 jawatan. Ia menunjukkan peningkatan 145,000 penjawatan yang diwujudkan bagi tempoh sehingga suku kedua tahun ini,” katanya.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, DOSM, kadar pengangguran pada Ogos 2019 mencatatkan 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada Ogos 2018 iaitu seramai 525,000 orang. Daripada jumlah itu, mempunyai kelulusan akademik tertiari iaitu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan diploma ke atas iaitu seramai 158,400 orang.

“Statistik Utama Tenaga Buruh pada Ogos 2019 mencatatkan 15,185,800 orang bekerja berbanding 14,896,500 orang pada tempoh sama tahun lalu.

“Ini menunjukkan pertambahan 289,300 orang guna tenaga bekerja yang berusia 16 hingga 64 tahun dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply