Input your search keywords and press Enter.

26 Taman Eko Rimba Pahang Ditutup Musim Tengkujuh

M Update, 11/11/2019 – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menutup sementara 26 Taman Eko Rimba di negeri itu selama tiga bulan sejak 1 November lalu, susulan musim tengkujuh yang melanda pantai timur.

Turut ditutup Taman Negeri Endau-Rompin dan Mossy Forest di Cameron Highlands yang menjadi tarikan utama pelancong berkunjung di pusat peranginan tanah tinggi itu. Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan negeri, Gripping Akeng, berkata setiap tahun pihaknya menutup sementara semua taman eko rimba pada musim tengkujuh bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Antara aktiviti yang dilakukan pelancong ketika berada di taman eko rimba adalah mendaki bukit, menjelajah gua, mandi di kawasan jeram dan air terjun serta perkhemahan. Tegasnya, aktiviti terbabit berbahaya dilakukan terutama ketika musim hujan yang berlaku secara berterusan dalam masa beberapa jam hingga boleh mencetuskan banyak kemungkinan tanpa diduga.

“Justeru bagi mengelak kejadian buruk berlaku pada pengunjung, jabatan mengambil keputusan menutup sementara semua taman eko rimba termasuk Taman Negeri Endau-Rompin dan Mossy Forest walaupun kurang disenangi sesetengah pihak.

“Notis larangan penutupan sementara sudah diedarkan pada pihak terbabit. Kita turut meletakkan kain rentang notis amaran larangan memasuki semua taman eko rimba.

Bagaimanapun, sedikit kelonggaran diberikan kepada pengunjung Mossy Forest di mana penutupan hanya dibuat ketika hujan lebat berlaku saja. Ketika cuaca baik pelancong dibenarkan melakukan aktiviti riadah di situ,” katanya.

Gripping berkata, kejadian tidak diingini seperti fenomena kepala air, pokok tumbang, tanah runtuh yang menyebabkan terputus hubungan, banjir dan lemas boleh terjadi terutama ketika hujan lebat berterusan berlaku. Katanya, pemantauan di taman eko rimba akan dilakukan berterusan bagi memastikan pelancong tidak melakukan aktiviti riadah pada musim tengkujuh yang sudah bermula.

“Saya berharap mereka yang sebelum ini sering mengunjungi taman eko rimba untuk aktiviti riadah bersama keluarga, tidak berbuat demikian selama tiga bulan bermula November ini.

“Golongan pelajar pusat pengajian tinggi juga diingatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan, banyak kes kemalangan di taman eko rimba membabitkan remaja,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply