Input your search keywords and press Enter.

Azmin : Koridor Ekonomi Baharu Bermula Dari Bandar Malaysia Ke Johor Tahun Depan

Datuk Seri Azmin Ali present the Mid-Term review of the 11th Malaysia Plan pic razak ghazali

M Update, 11/11/2019 – Kerajaan akan mewujudkan koridor ekonomi baharu yang menghubungkan antara Bandar Malaysia di Kuala Lumpur hingga ke Johor, bermula tahun depan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu bagi membangunkan pekan kecil di antara daerah sekali gus melonjakkan ekonomi kawasan berkenaan. Katanya, koridor itu bakal mewujudkan bandar nukleus baharu yang merangkumkan daerah serta pekan kecil di Johor, sekali gus membangunkan kawasan luar bandar.

“Kelmarin saya menerima taklimat mengenai koridor ekonomi baharu untuk Johor bagi diteliti dan ia akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita akan wujudkan bandar nukleus dan membangunkan bandar serta pekan kecil daripada Bandar Malaysia hinggalah ke Johor dengan mewujudkan juga jaringan pengangkutan awam bersepadu membabitkan perkhidmatan rel serta lapangan terbang baharu.

Kerajaan tidak mahu pembangunan hanya tertumpu di Lembah Klang atau bandar raya saja tetapi daerah serta pekan kecil juga perlu diberi perhatian kerajaan kerana ia akan membawa manfaat besar kepada penduduk.

Koridor ekonomi baharu ini bukan saja akan menjana pertumbuhan ekonomi Johor malah akhirnya dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan negara dan Insya-Allah ia akan dilaksanakan mulai tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, pada masa ini pembangunan dapat disaksikan di sepanjang kawasan pantai di Muar dan Batu Pahat.

“Namun pembangunan perlu dibawa ke kawasan luar bandar juga. Ini usaha berterusan dan ia memerlukan satu tempoh panjang untuk membangunkan pembangunan itu secara menyeluruh namun dengan komitmen Perdana Menteri dan kepimpinan PH lain, ia bakal menjadi realiti, ” katanya.

Ditanya sama ada Tanjung Piai bakal termasuk dalam kawasan koridor ekonomi baharu itu, Mohamed Azmin berkata, ia tidak terkecuali. Namun kita akan melihat ia secara menyeluruh dan tidak akan meminggirkan mana-mana kawasan pun,” katanya. -BH Online

Leave a Reply