Input your search keywords and press Enter.

Lebih Banyak Keganasan Jika Punca Tidak Difahami – PM

M Update, 11/11/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan lebih banyak perbuatan ganas akan terus berleluasa pada masa hadapan jika masyarakat Islam terus ditindas.

Perdana Menteri juga menjelaskan punca utama serangan ganas di seluruh dunia adalah kekecewaan negara Islam, terutama terhadap apa yang berlaku kepada rakyat Palestin. Justeru, katanya, adalah penting dunia mengenal pasti perkara berkenaan dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan itu.

“Penting untuk kita memahami punca di sebalik perbuatan ganas ini. Ini adalah disebabkan kekecewaan dan rasa marah masyarakat Islam apabila mereka ditindas. Ramai rakyat Palestin dan Islam secara umumnya marah dan kecewa kerana Israel boleh berbuat apa saja tanpa dikutuk masyarakat dunia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kolokium bertajuk Mendalami Pemahaman Islamofobia: Ke Arah Pemahaman Mendalam Terhadap Islam” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dr Mahathir berkata, serangan ganas untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku di Palestin, misalnya tidak pernah membuahkan hasil, tetapi hanya menyebabkan lebih ramai orang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Pada masa yang sama masyarakat Islam perlu tahu bahawa tindakan ganas bersendirian tidak akan berjaya. Selama 70 tahun perjuangan menuntut rakyat Palestin untuk menuntut hak mereka tidak pernah menunjukkan sebarang perkembangan positif, sebaliknya lebih banyak tanah mereka dirampas,” katanya.

Dr Mahathir berkata, istilah “Islamofobia” muncul susulan rasa kekecewaan dan marah umat Islam terhadap kezaliman Israel di Palestin. Katanya, kewujudan negara Israel di tanah Palestin turut diiktiraf kuasa besar termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun jelas sekali perkara itu melanggari proses demokrasi.

“Dunia tidak melakukan apa-apa kecuali melihat pendudukan secara haram yang dilakukan Israel di wilayah Palestin yang turut melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, masyarakat dan negara Islam perlu berganding bahu untuk meraih simpati dan sokongan dunia terhadap Palestin.

“Adalah tidak benar semua negara Eropah dan (rakyat) Amerika Syarikat menentang Islam atau penduduk di Palestin. Ramai yang bersimpati tetapi perbuatan (serangan ganas) yang menyebabkan mereka hilang simpati terhadap masyarakat Islam,” katanya.

Berhubung Islamfobia, Dr Mahathir berkata, adalah penting memahami kenapa umat Islam menyuarakan rasa marah dan kecewa mereka. – BH Online

Leave a Reply