Input your search keywords and press Enter.

LTTE : Penghantar Surat Tak Boleh Dijamin

M Update, 18/11/2019 – Penghantar surat, S Teeran, 38, yang didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada bulan lalu, ditolak permohonan jaminan oleh Mahkamah Sesyen Segamat, hari ini.

Hakim Rasidah Roslee, yang membuat keputusan itu di hadapan tertuduh selepas mendengar hujahan daripada peguam bela pemohon A Mathan dan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang.

Rasidah, dalam penghakimannya berkata, beliau bersetuju dengan hujahan Suriani bahawa jaminan tidak boleh diberikan terutama membabitkan kes kepentingan awam dan keselamatan negara.

Beliau menambah bahawa tugas Mahkamah Sesyen juga untuk menyebut dan menguruskan kes itu sebelum ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Justeru, beliau berkata permohonan untuk jaminan haruslah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes sebegini.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 19 Disember untuk pengurusan kes dan laporan pakar forensik.

Pada 29 Oktober lalu, Teeran yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di bandar ini, dituduh memiliki barangan berunsurkan perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu, 6.30 petang, di alamat Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai di Segamat, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130 JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item berkenaan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply