Input your search keywords and press Enter.

Kereta Terbang : Pengeluarannya Belum Dimuktamad

M Update, 19/11/2019 – Kerajaan belum memutuskan untuk mengeluarkan kereta terbang nasional jika sesi pandu uji kenderaan itu menunjukkan hasil positif esok.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata ada beberapa perkara perlu dibincangkan secara menyeluruh, khususnya perihal ruang udara sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Saya belum tahu perincian mengenai kereta terbang itu lagi. Saya hanya mahu meneliti manfaatnya terlebih dahulu.

“Kita masih mempunyai pertikaian mengenai ruang udara dan perbincangan mengenainya giat dijalankan di peringkat kerajaan serta mencari jalan bagaimana ia boleh diselesaikan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Mohd Redzuan dilaporkan berkata, sesi pandu uji kereta terbang pertama negara dijangka dilakukan buat kali pertama pada khamis, selepas sekian lama menjadi persoalan dan bahan bualan. Mengulas mengenainya, beliau berkata, undangan hanya diberi kepada Ahli Parlimen untuk menyaksikannya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perincian lokasi dan masa bagi sesi pandu uji terbabit sebagai menghormati permintaan pemaju projek berkenaan.

“Sesi pandu uji ini adalah hasrat pemaju projek kereta terbang dan mereka enggan mendedahkannya kepada umum, lagi pun kita hanya membantu mereka.

“Saya tidak boleh dedahkan perincian sesi pandu uji ini kerana menghormati permintaan mereka (pemaju), selain khuatir bentuk liputan yang akan dibuat jika kereta berkenaan gagal terbang ketika sesi pandu uji,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply