Input your search keywords and press Enter.

Kesihatan Iman Semakin Tenat

M Update, 20/11/2019 – Negara bakal kehilangan badak sumbu Sumatera terakhir yang dikenali sebagai Iman berikutan keadaan kesihatan mamalia berkenaan yang semakin tenat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, tahap kesihatan haiwan itu disahkan oleh pasukan perubatan yang diketuai Dr Zainal Zahari Zainuddin di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin. Katanya, masalah ketumbuhan pada uterus mamalia berkenaan didapati semakin membesar sejak ia dikesan pada Mac 2014 manakala usaha membuang ketumbuhan itu juga amat berisiko tinggi.

“Menurut laporan, berat Iman menyusut kepada 476 kilogram. Pemakanan haiwan ini tidak normal dan terpaksa diberikan makanan tambahan bagi menampung keperluan kesihatannya.

“Situasi ini mengingatkan kita kepada Puntung (badak sumbu Sumatera) yang terpaksa ‘dimatikan’ selepas sel kanser yang dialami semakin melarat sehingga terpaksa menanggung kesakitan berpanjangan,” katanya pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, pelbagai cadangan rawatan yang diberikan perlu dibuat berdasarkan nasihat pasukan pakar perubatan veterinar. Sementara itu, Christina berkata, kerajaan negeri akan mempercepatkan proses perundangan dengan pihak Indonesia bagi melakukan prosedur persenyawaan in vitro (IVF).

Katanya, langkah itu akan membabitkan proses mengekstrak telur iman untuk disenyawakan dengan sperma badak sumbu Sumatera di Indonesia. Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri pernah mensenyawakan telur iman dengan sperma yang diambil dari Puntung yang mati pada Mei lalu di pusat Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sandakan.

Namun, usaha itu gagal berikutan sperma berkenaan sudah tidak berkualiti. – HM Online

Leave a Reply