Input your search keywords and press Enter.

Jenazah Penuntut Malaysia Dikebumi Di Maghribi

M Update, 25/11/2019 – Jenazah penuntut Malaysia, Mohd Hafizuddin Hazrul, 20, yang meninggal dunia akibat menghidap leukemia di Rabat, Maghribi akan dikebumikan di sana.

Bapanya, Hazrul Abdullah, 50, berkata, selepas perbincangan bersama pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dia bersama isteri, Noor Bahayah Dullah, 45, setuju untuk mengebumikan anak mereka di negara berkenaan. Menurutnya, buat masa dia bersama isteri masih berbelah bahagi sama ada akan ke negara terbabit atau tidak.

“Jika saya ke sana, jenazah akan dikebumikan pada Selasa selepas Zuhur, manakala jika tidak arwah akan dikebumikan hari ini (Isnin). Kalau boleh kami tak nak jenazah disimpan terlalu lama, namun dalam masa yang sama kami mahu melihat jasad anak buat kali terakhir. Dengan itu, saya dan isteri masih lagi dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, anak sulung Hazrul, Siti Hajar Hazrul, 21, berkata, buat masa ini dia bersama rakan dan Kedutaan Malaysia di Maghribi masih menunggu keputusan bapa dan ibunya.

“Dari pengurusan jenazah di sini akan diuruskan secara bersama antara penuntut Malaysia di Maghribi bersama pihak kedutaan. Bagaimanapun, lokasi solat jenazah dan tanah perkuburan masih belum ditetapkan lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Siti Hajar yang berada di tahun dua turut mengikuti Pengajian Islam di Universiti Mohammed V Rabat, Maghribi, manakala adiknya, Mohd Hafizuddin berada di tahun pertama. Kedua-dua mereka yang berasal dari Kampung Bintungan, Rembau, Negeri Sembilan mendapat tajaan MAINS.

Terdahulu akhbar melaporkan, Mohd Hafizuddin yang menghidap leukemia dan disahkan meninggal dunia 10.50 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Cheikh Zayd, Maghribi. – HM Online

Leave a Reply