Input your search keywords and press Enter.

Kes Silap Bendera : Polis Dah Panggil Presiden MABA

M Update, 26/11/2019 – Polis sudah memanggil Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi menjelaskan insiden kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang lima ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang ke-28 di Stadium Bola Keranjang, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, Presiden MABA (Datuk Lua Choon Hann) hadir jam 8 pagi tadi bagi menjelaskan insiden berkenaan.

“Beliau memaklumkan kejadian itu bukan daripada pihaknya, sebaliknya daripada kontraktor Teknologi Maklumat (IT). Justeru, polis meminta MABA membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan memanggil kontraktor IT terbabit untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Polis juga akan menyiasat sama ada kejadian ini mempunyai motif lain. Penganjur juga sudah mengeluarkan permohonan maaf. Siasatan akan dijalankan sama ada ia kejadian tidak disengajakan atau sebaliknya. Polis menasihatkan penganjur setiap acara memeriksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian sebegini tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu, MABA menerusi satu kenyataan, hari ini, memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan berkenaan. Jalur Gemilang dengan bintang lima itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku. Sejak malam tadi, video berdurasi 1 minit 42 saat tular di media sosial.

Netizen mengecam tindakan penganjur dan mendesak MABA dikenakan tindakan sewajarnya kerana tidak peka dengan sensitiviti. – HM Online

Leave a Reply