Input your search keywords and press Enter.

Polis : Keluarga Tahanan Boleh Tengok CCTV

M Update, 26/11/2019 – Polis bersedia menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada keluarga tahanan lelaki yang ditemui mati tergantung di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) Jumaat lalu sekiranya mereka memohon kepada pihak berkuasa.

Ia berikutan keluarga terbabit membuat laporan bagi meminta polis menjalankan siasatan memandangkan lelaki itu meninggal dunia ketika berada bawah jagaan polis. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasegaran berkata, suspek lelaki berusia 29 tahun itu membunuh diri, malah rakaman CCTV menunjukkan dia mengikat lehernya sebelum menggantung diri di jeriji lokap.

“Jadi, jika keluarga mahu melihatnya, maka polis boleh benarkan mereka tengok supaya semuanya berpuas hati dan melihat sendiri apa yang berlaku ketika lelaki itu berada dalam lokap,” katanya pada sidang media IPK Pulau Pinang, Georgetown, semalam.

Rabu lalu, lelaki itu ditahan di Kampung Perlis, Butterworth bersama rakannya berusia 38 tahun sebelum direman selama tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun, ketika dia ditempatkan di lokap IPD SPU pada kira-kira 4 pagi Jumaat lalu, seorang tahanan mendapati lelaki berkenaan sudah tidak bernyawa selepas menggantung dirinya.

Narenasegaran berkata, penahanan lelaki itu dan proses reman serta siasatan dijalankan ke atasnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan setakat ini kematian tahanan tiada unsur kecuaian atau jenayah.

“Majistret dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga sudah datang melawat lokap serta melihat rakaman CCTV semasa kejadian berkenaan untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Lelaki itu ditempatkan di dalam lokap bersama enam lagi tahanan dan dia dijumpai tergantung pada jeriji lokap pada kira-kira pukul 4.00 pagi Jumaat oleh seorang tahanan yang terjaga daripada tidur sebelum memaklumkan kepada polis, dan difahamkan semasa kejadian, semua tahanan lain di dalam lokap itu sedang tidur.

Ekoran kejadian itu, polis turut menerima laporan polis dibuat keluarga lelaki berkenaan yang meminta supaya pihaknya menyiasat sebab kematian tahanan itu ketika berada di bawah jagaan polis.

Sumber : HM Online

Leave a Reply