Input your search keywords and press Enter.

Jika Ada Masalah, Klik Direktori Perkhidmatan Keluarga – Hannah Yeoh

M Update, 27/11/2019 – Direktori Perkhidmatan Keluarga yang dibangunkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bakal menjadi platform penting bagi orang awam mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan keluarga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata direktori perkhidmatan keluarga http://keluarga.lppkn.gov.my/direktori/ berfungsi sebagai pusat sehenti yang memberi khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan.

“Dalam direktori itu kita ada semua pautan laman sesawang kepada agensi kerajaan yang memberi perkhidmatan seperti konsultasi perkahwinan dan perceraian, pengurusan warga emas, konsep keibubapaan, pengurusan kewangan keluarga, kaunseling dan terapi serta kesihatan reproduktif.

“Sebanyak 207 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit sebagai penyedia perkhidmatan berkenaan dan kebanyakan perkhidmatan ditawarkan secara percuma,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) yang akan menjadi sebahagian daripada agenda nasional supaya semua pihak meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam segala perancangan dan tindakan.

Bagi membabitkan semua pihak dalam menjayakan DKM itu, Dr Wan Azizah berkata LPPKN membangunkan Direktori Perkhidmatan Keluarga yang menyediakan maklumat dan panduan berkaitan khidmat sokongan berkaitan keluarga.

Yeoh turut menggalakkan ibu bapa dan pasangan muda menggunakan direktori itu sebagai platform bagi mendapat bantuan awal sekiranya menghadapi sebarang masalah dalam keluarga. – BERNAMA

Leave a Reply