Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Contohi Etika Kerja Korea Selatan

M Update, 28/11/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu diaspora Malaysia di Korea Selatan mencontohi etika kerja dan ciri-ciri positif negara itu, seterusnya menimba ilmu dan memanfaatkan teknologi canggih negara itu.

“Apa yang kita mahu adalah untuk rakyat Malaysia datang ke sini dan belajar bagaimana mereka boleh maju dengan cepat. Hayati cara orang Korea bekerja dan etika kerja mereka,” katanya pada jamuan bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di Seoul sempena majlis ‘Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’, di sini, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, ilmu tanpa nilai-nilai yang murni boleh membahayakan tetapi memupuk etika dalam kehidupan harian termasuk kerja telah membuktikan manfaat bagi kebaikan manusia sejagat.

Beliau berkata, Korea Selatan sebelum ini ketinggalan dari segi pembangunan dengan Malaysia, bahkan mereka datang ke negara Asia Tenggara untuk menimba ilmu pada zaman kegemilangannya.

“Hari ini mereka jauh meninggalkan kita. Kini sudah mencapai pendapatan perkapita AS$30,000 setahun. Ini kemajuan yang menakjubkan.

“Dulu mereka ada satu kereta saja iaitu Hyundai Pony. Orang ketawa bila mereka kata nak eksport. Kini mereka menjual (kereta) di serata dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Korea Selatan berjaya melaksanakan pelan pembangunan yang menyaksikan ia dipacu dari negara yang dilanda perang kepada sebuah negara yang maju. Beliau mengulas bagaimana Korea Selatan membina semula negara mereka dengan pemesatan bandar akibat industri pembinaan kapal dan bagaimana mereka kini menghasilkan pesawat pejuang.

“Mereka mempunyai strategi yang berbeza daripada kita… kita hanya perlu belajar bagaimana untuk maju dengan lebih cepat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau bertemu dengan ramai rakyat Malaysia yang bekerja dengan Gas Asli Cecair Terapung Kedua (PFLNG Dua) Petronas di Geoje dan ia membuktikan rakyat Malaysia berdaya tahan walaupun berdepan dengan cuaca sejuk melampau. Bagaimanapun, beliau menasihatkan diaspora untuk kembali berkhidmat di tanah air.

“Sekiranya anda boleh mencari kerja di tempat lain, lakukan tetapi jangan tinggal terlalu lama sebagai diaspora. Janganlah jadi diaspora sampai bila-bila. Baliklah. Malaysia adalah tempat anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menarik lebih banyak syarikat berteknologi tinggi melabur di Malaysia sebagai langkah menyediakan pekerjaan bernilai tinggi secara menyeluruh dalam rantaian.

Beliau juga meluangkan masa menjawab beberapa soalan daripada hadirin dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, bertindak sebagai perantara. Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Seoul bermula semalam, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019 di Busan yang berakhir kelmarin.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Dr Mahathir ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada Mei 2018. – BERNAMA

Leave a Reply