Input your search keywords and press Enter.

Kes LTTE : Tunggu Laporan SKMM Dan Pakar Keganasan

M Update, 28/11/2019 – Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini, menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes dua lelaki didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan memperoleh laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pakar keganasan. Kedua-dua tertuduh, S Arivainthan, 27, dan V Balamurugan, 37, didakwa pada 29 Oktober lalu atas pertuduhan memberi sokongan, memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Pada sebutan semula hari ini, Timbalan Pendakwaraya Hasyutanti Khalil memohon mahkamah memberikan masa untuk siasatan dilengkapkan dalam masa sebulan setengah memandangkan laporan SKMM dan pakar forensik masih belum diperoleh. Namun perkara itu dibantah Peguam, Matthews Jude yang mewakili kedua-dua tertuduh dan memohon kes disebut semula minggu hadapan.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan esok sebagai tarikh memutuskan isu jaminan terhadap semua tertuduh terbabit dalam kes itu. Terdahulu, Matthews turut memohon mahkamah memanggil dua pegawai penyiasat bagi meminta penjelasan mengenai kedua-dua laporan yang masih belum diperolehi. Kedua-dua mereka yang dipanggil kemudiannya memberitahu mahkamah pihaknya sudah menghantar butiran meminta laporan SKMM dan pakar keganasan pada 30 Oktober lalu. Namun, kedua-dua mereka dimaklumkan pihak SKMM memerlukan masa enam hingga 12 bulan untuk melengkapkan laporan.

Mathews kemudiannya memberitahu mahkamah tempoh masa enam hingga 12 bulan terlalu lama untuk anak guamnya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh. Hakim Rohaida Ishak kemudiannya menetapkan 12 Disember sebagai sebutan semula kes dan membenarkan ahli keluarga bertemu dengan kedua-dua tertuduh di mahkamah.

Sebelum ini akhbar melaporkan, Arivainthan yang bekerja sebagai juruteknik didakwa atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE di dalam satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Cawangan Sungai Siput (U), jam 6.30 petang hingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

Balamurugan yang juga pemandu teksi pula dituduh memberi sokongan pada kumpulan pengganas sama pada tarikh, waktu dan tempat sama dengan Arivainthan serta didakwa mengikut seksyen sama. Bagaimanapun, Balamurugan turut berdepan tiga pertuduhan lain iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE dalam telefon bimbit pada 10 Oktober 2019 di perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U), Kuala Kangsar, jam 9.40 pagi.

Kedua-dua mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan 130JB (1)(a) akta sama. – HM Online

Leave a Reply