Input your search keywords and press Enter.

KKM : Tiada Perancangan Gubal Akta Larangan Minum Arak Di Tempat Terbuka

M Update, 28/11/2019 – Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempunyai perancangan untuk menggubal akta bagi melarang orang ramai daripada meminum arak dan minuman beralkohol di tempat terbuka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kementerian itu tidak mahu mengganggu bidang kuasa pihak lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sekarang mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan meminum arak secara terbuka di sesetengah tempat.

Menurutnya, kementerian hanya bertanggungjawab mengawal jenis kandungan alkohol serta peratusan kandungan alkohol dalam minuman keras sebagai antara syarat sebelum produk itu dibenarkan dijual di negara ini.

“Ia jelas di bawah kuasa PBT. Kementerian Kesihatan tidak akan mengganggu kuasa ini,” katanya.

Beberapa pihak antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khas atau menguatkuasakan larangan meminum arak di tempat tertentu atau secara terbuka antaranya bagi menangani peningkatan masalah sosial akibat daripada minuman keras. – BERNAMA

Leave a Reply