Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Rumah Hanyut Sekelip Mata

M Update, 4/12/2019 – Enam sekeluarga bukan sahaja menjadi mangsa banjir, tetapi tinggal sehelai sepinggang dan hilang tempat berteduh apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras dalam bencana itu di Kampung La, di Jertih.

Suriati Mohd Yusof, 35, berkata, kejadian pada hari pertama bencana itu pada Jumaat lalu berlaku ketika bah mula melanda kawasan kampung terbabit, sehingga rumah papan didiami mereka ditenggelami banjir sedalam dua meter sebelum dihanyutkan arus.

Tambahnya, kedudukan rumahnya yang berhampiran Sungai Besut dengan jarak hanya kira-kira 60 meter menyebabkan kediamannya sering dinaiki air pada musim tengkujuh, namun kali ini disifatkan antara yang terburuk. Dia berkata, selepas hujan selama tiga hari, segala persediaan sudah dilakukan dengan mengemas barangan supaya senang untuk berpindah kerana sudah menjangka banjir besar akan berlaku berikutan hujan lebat tanpa henti.

“Pada pagi Jumaat itu, saya bangun 6.30 pagi dan mendapati air belum masuk ke dalam rumah. Namun air mula naik mendadak dan melimpah ke dalam rumah sekitar 8 pagi ketika saya sedang menyiapkan sarapan pagi.

“Saya segera menyuruh anak sulung, Adam Danish Hardi, 14, berkemas untuk berpindah dan ketika itu saya lihat rumah yang dibina daripada papan seakan senget dan hendak terbalik. Panik dengan keselamatan keluarga menyebabkan saya dan anak-anak segera keluar rumah dan menaiki perahu untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui.

Suriati berkata, hatinya pilu apabila dia ternampak sisa runtuhan rumahnya yang dihanyutkan arus tersangkut berdekatan pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La, kira-kira 200 meter dari tapak rumahnya itu, selepas banjir sedikit surut pada Sabtu lalu. Namun, hujan yang kembali lebat dan banjir semakin teruk menyebabkan sisa runtuhan rumahnya terus dihanyutkan arus dan dijumpai semula kira-kira 500 meter dari tapak rumah terbabit.

Katanya, dia dan keluarga reda dengan takdir yang menimpa dan bersyukur keluarganya terutama anak terselamat daripada musibah akibat tragedi itu.

“Siapa yang tidak sedih kehilangan tempat tinggal, tetapi ini ujian Allah yang perlu kami terima. Apatah lagi ketika kejadian suami, Hardi Mazda, 55, yang bekerja sebagai pemandu lori kontena tiada di sisi kerana ke Kuala Lumpur mencari rezeki buat kami sekeluarga.

Rumah itu dibina setahun lalu sebagai rumah sementara kerana struktur asal dirobohkan untuk dibina baharu atas tanah pusaka milik arwah bapa. Jika ada rezeki, kami ingin menyiapkan rumah baharu itu secepat mungkin.

“Apapun kami tetap bersyukur kerana buat sementara ini, pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sudahpun menyediakan rumah sewa sementara di kampung ini, setidak-tidaknya kami ada tempat berteduh,” katanya. – BH Online

Leave a Reply