Input your search keywords and press Enter.

Faizul Pulang Tanpa Dendam

M Update, 9/12/2019 -“Saya tidak menyimpan dendam dan menganggap temasya kali ini bukan rezeki untuk menghadiahkan pingat.”

Demikian luahan Faizul Nasir, pesilat negara yang tidak sedarkan diri ketika tewas pada pusingan awal Sukan Sea Filipina, Selasa lalu.

Atlet berusia 31 tahun itu bersama kem silat kebangsaan menerima sambutan wira setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.

Faizul yang masih memakai alat penyokong leher menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana mendoakan dia sembuh selain kejayaan skuad silat negara.

“Saya mohon maaf kerana tidak mampu mempertahankan emas buat kali ketiga, namun bersyukur kecederaan leher dan tulang belakang kini beransur pulih.

“Karier saya belum berakhir dan kekecewaan perlu dilupakan untuk terus bangkit pada kejohanan lain. Tiada dendam di hati ini,” katanya kepada Arena Metro.

Pemenang emas edisi 2015 dan 2017 itu terbaring lebih tiga minit tanpa bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan peserta tuan rumah, Dines Dumaan.

Biarpun cedera dan enam jam tidak sedarkan diri, Faizul terus hadir menyokong rakan sepasukan yang bertanding sebaik dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Clark City.

Leave a Reply