Input your search keywords and press Enter.

Angka Korban Gempa Bumi Filipina Meningkat Kepada Empat Orang

M Update, 16/12/2019 – Angka korban akibat bencana gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda kawasan berhampiran bandar Davao di Pulau Mindanao yang terletak di selatan Filipina pada Ahad telah meningkat kepada empat orang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik laporan terkini.

Sebuah bangunan tiga tingkat runtuh semasa gegaran, menyebabkan ramai orang terperangkap dan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas dihempap dinding.

Aktiviti mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan buat seketika selepas berlaku beberapa gempa susulan.

Menurut pegawai tempatans, terdapat sehingga 90 gempa susulan selepas gempa bumi itu berlaku pada pukul 2.14 petang (waktu tempatan) pada Ahad.

Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) berkata pusat gempa terletak 5 kilometer di barat laut pekan Matanao dalam wilayah Davao del Sur.

Pulau Mindanao telah dilanda empat gempa bumi kuat pada Oktober dan November, yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.

— BERNAMA

Leave a Reply