Input your search keywords and press Enter.

Kes Altantuya: Permohonan Azilah Didengar April Depan

M Update, 17/12/2019 – Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menetapkan 20 April depan untuk mendengar permohonan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri bagi menyemak semula keputusan yang mensabitkannya atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam J Kuldeep Kumar selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Norkamilah Aziz, hari ini. Beliau ketika ditemui mengesahkan bahawa pihaknya memfailkan permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman gantung yang dikenakan terhadap Azilah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015.

“Kami memfailkan permohonan ini mengikut Aturan 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995. Selain mengetepikan sabitan dan hukuman, kami juga memohon supaya perbicaraan kes berprofil tinggi ini dibuat semula,” katanya

Bagaimanapun apabila ditanya lebih lanjut berhubung akuan bersumpah (SD) yang dibuat oleh Azilah, Kuldeep enggan mengulas lanjut dan beredar pergi dengan segera. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun ketika ditemui mengesahkan permohonan dan SD itu. Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang arahan untuk mendedahkan perkara ini lebih lanjut.

“Pihak kami akan meneliti terlebih dahulu SD ini sebelum membuat tindakan selanjutnya,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail. Peguam Sangget Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan rasmi untuk bertindak sebagai peguam pemerhati. Semalam, Azilah membuat dakwaan mengejutkan melalui SD mendakwa menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya.

Azilah membuat dakwaan itu ketika sedang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya. Memetik laporan Malaysiakini, dia yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Dalam pengakuan itu, Azilah mendakwa dia bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK. Dia mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini. – HM Online

Leave a Reply