Input your search keywords and press Enter.

NADMA : Notis Amaran Melalui SMS

M Update, 17/12/2019 – Sebaran maklumat atau notis amaran bencana kepada komuniti melalui kiriman SMS antara inisiatif terbaru diperkenalkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Nadma dalam kenyataannya berkata, notis amaran melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (Prab), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dimulakan awal bulan ini di Kuala Krai, Kelantan.

“Prab adalah notis amaran merah atau bahaya paras air sungai. Ia mula dilancarkan di Kelantan (Kuala Krai) bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat atau komuniti yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, pelbagai langkah awal sudah diambil Nadma bagi menghadapi bencana banjir di negeri terbabit antaranya penyelarasan pengurusan bencana bersepadu peringkat daerah dan negeri.

“Nadma turut menggerakkan semua agensi terbabit dengan pengurusan bencana selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan pengurusan banjir diselaras dengan berkesan dan lancar.

“Peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara turut disalurkan bagi perbelanjaan operasi bencana kepada agensi tindak balas dan jawatankuasa pengurusan bencana peringkat negeri serta daerah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nadma berkata, semua agensi berkaitan pengurusan bencana persekutuan serta di peringkat negeri bersiap sedia ketika monsun timur laut dengan keanggotaan yang mencukupi.

“Bagi memperkukuhkan pengurusan bencana negara, Nadma turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan bagi memastikan urusan bantuan di lokasi bencana terselaras bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian,” katanya.

Mengulas mengenai gelombang kedua banjir di pantai timur, Nadma berkata, JPS menjangkakan berlaku fenomena air pasang antara 25 dan 26 Disember ini sekiranya berlaku hujan lebat yang berkemungkinan boleh menyebabkan banjir namun mereka dalam keadaan bersedia.

Katanya, secara keseluruhan, operasi menyelamat dan proses pemindahan mangsa banjir serta pengurusan di semua pusat pemindahan berjalan dengan baik, lancar dan terselaras dengan kerjasama semua agensi termasuk NGO dan pihak swasta.

Nadma menasihatkan orang ramai memberi perhatian kepada maklumat banjir dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga. – HM Online

Leave a Reply